Saling memberi kebebasan
Persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk
saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga
tidak bermakna kamu harus memiliki seluruh ruang hidupnya. Misalnya, melarang temanmu
membuat itu dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas
menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa mempedulikan perasaan
orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa
yang penting, si dia jujur pada persahabatannya.
Saling menahan rasa cemburu
Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu persahabatan yang dibina
tak adalah ‘thrill’nya. Tetapi cemburu yang membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada
baiknya sebelum api cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada
yang tak kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan menuduh.
Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang. Sebenarnya perasaan
cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana ini boleh membuatkan temanmu itu naik
tocang. Dia akan mempergunakan kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa
cemburu dengan berulang kali. Tentu menyakitkan…
Saling memahami
Untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan mengenali diri
sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam. Misalnya temanmu itu menolak
ajakanmu untuk keluar menonton wayang bersama, kamu tidak boleh membuat tanggapan
yang bukan-bukan tentang dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan
terlebih dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari hiburan sendiri lagipun esok masih ada
masa untuk kamu bertemu dia.
Saling mengalah
Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu bersikap mengalah.
Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Seperti menonton wayang, kamu sukakan
filem romantik tetapi dia pula suka filem aksi. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang
telah terbina sekian lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata
mahu menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah salahnya sekali
sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan
membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu.
Saling memberi kemaafan
Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa menguasai diri. Tetapi
sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.
Lagipun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi
seorang teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri tahu
perkara itu bukanlah berpuncak dari kesalahan atau kesilapan dirimu
Sumber: ReSpeKs@yahoogroups.com